Natrah : Kisah Lara 3 Jiwa. Part 1

Gigih aku mencari bahan rujukan untuk entri kali ni sebab kali ni aku bukan nak cerita tentang calang-calang orang. Aku nak bercerita tentang Natrah yang suatu masa dulu menggemparkan dunia.


Namun rujukan untuk kisah Natrah ni tak banyak. Yang betul-betul detail ialah dari penulisan Datin Fatini Yaacob yang pernah menjadi wartawan Dewan Masyarakat. Datin Fatini Yaacob adalah orang yang bertuah yang dapat bersemuka dan menemuramah sendiri mendiang Natrah @ Bertha. Dari temuramah itulah terlahirnya artikel di Dewan Masyarakat Edisi Feb 1989 hingga June 1989 dan terhasillah Buku bertajuk "Natrah (1937-2009) ~ Cinta. Rusuhan. Airmata"


Oleh kerana kisah ini terlalu panjang aku akan update cerita ini part by part. Aku akan mulakan dengan pengenalan Natrah supaya korang akan lebih faham tentang jalan kisah hidup penuh duka ini.


Natrah sebuah kisah lara 3 jiwa hingga ke akhir hayat. Natrah mengingatkan kita tentang penyatuan Melayu dan Islam demi berjuang menyelamatkan akidah seorang muslim..namun..semuanya sudah tersurat. Hidayah itu milik Allah.

Natrah : Kisah Lara 3 Jiwa


Menyelusuri susur galur Natrah


Kisah bermula dari Louise Hunter Winterberg seorang gadis berdarah campuran Indo - Belanda, seorang pelakon bangsawan yang telah berkahwin dengan Joseph Hunter dari Scotland. Hasil perkahwinan itu lahirlah sepasang anak bernama Soewaldi dan Adeline.


Namun jodoh antara Louise dan Joseph tidak kekal lama apabila Louise lari meninggalkan Joseph dan berkahwin dengan Raden Ismail seorang pelakon bangsawan indonesia yang beragama islam. Louise memeluk islam dan menukar namanya kepada Nor Louise.


Soewaldi dan Adeline yang ketika itu berumur 7 dan 5 tahun berada dibawah jagaan Nor Louise. Mereka dibesarkan dengan adat melayu dan didikan Islam. Namun ketika berusia 15 tahun, Adeline telah menukar agama ke agama kristian dan berkahwin dengan seorang tentera Belanda iaitu Sarjan Adrianus Petrus Hertogh.


Adrianus Petrus Hertogh adalah anak jati Belanda yang lahir pada 19 September 1905 di Willerustad, Noord Brabant, Belanda. Beliau telah datang ke Tanah Jawa ketika berusia 19 tahun iaitu pada 11 September 1924.  Berkahwin dengan Adeline ketika berusia 28 tahun di gereja Roman Katolik Bandung dan kemudian menetap di Baroshweg 11, Tjimahi Bandung. Mereka dikurniakan 5 orang anak termasuk Huberdina Maria Hertogh yang kemudiannya melakar sejarah.


Pada 8 Mac 1942, ketika tercetusnya perang dunia kedua, tentera Belanda di bawah pimpinan Jeneral Ter Poorten telah menandatangani surat penyerahan kuasa kepada tentera Jepun dan sejak itu Belanda menjadi tawanan Jepun. Antara anggota tentera menjadi tawanan Jepun adalah Sarjan Adrianus Petrus Hertogh yang ketika itu berusia 37 tahun.

Natrah


Dilahirkan pada 24 Mac 1937 sebagai Huberdina Maria Hertogh di Tjimahi, Bandung. Dibesarkan di dalam lingkungan budaya melayu namun mengikut kewarganegaraan bapanya iaitu Belanda.


Ketika bapanya di dalam tawanan Jepun Natrah baru sahaja berusia 6 tahun. Namun ketika ditemubual oleh wartawan Dewan Masyarakat pada akhir Mac 1989, Natrah mengingati jelas kejadian bapanya diheret di hadapannya oleh tentera Jepun kerana menurut beliau ketika itu dia sedang bermain di luar rumah.


Berikutan kepayahan hidup Adeline membesarkan anak tanpa suami di sisi, maka Adeline meminta Che Aminah iaitu kenalan ibunya Nor Louise untuk memgambil salah seorang anaknya. Che Aminah menolak pelawaan itu beberapa kali memandangkan Che Aminah sudah mempunyai seorang anak angkat yang dibawa dari Jepun yang diberi nama Kamariah.


Namun atas desakan, Che Aminah mengambil Benny iaitu adik Natrah namun dipulangkan semula selepas 1 minggu kerana Benny dikhabarkan kuat menangis. Selepas itu barulah Che Aminah mengambil Natrah sebagai anak angkat beliau.

Natrah : Kisah Lara 3 Jiwa



Siapa Che Aminah?

Che Aminah Hj Mohamad adalah seorang peniaga dari golongan bangsawan yang berasal daripada Kemaman. Beliau pernah menetap di Jepun selama 12 tahun ketika mengikut arwah suaminya iaitu Abd Ghani yang bertugas sebagai pensyarah bahasa Melayu  di Jabatan Bahasa Asing di sebuah universiti di Tokyo. Berikutan itu Che Aminah fasih berbahasa Jepun malah membawa pulang seorang anak angkat Jepun yang diberi nama Kamariah.


Namun, tidak lama sekembalinya dari Jepun, Abdul Ghani meninggal dunia. Selepas itu Che Aminah telah bernikah dengan Ma'aruf pada tahun 1930-an.


Che Aminah bukan sahaja fasih berbahasa Jepun malah boleh berbahasa Urdu, Cina, Tamil dan Inggeris. Che Aminah jelas digambarkan oleh Hakim Justice Brown dalam penghakimannya ketika kes perebutan hak penjagaan Natrah sebagai seorang yang terpelajar. Malah Hakim Justice Brown berkata "This Malay Lady is not a kampung women. In Europe she would described as belonging to the bourjoisie or middle class"

Natrah : Kisah Lara 3 Jiwa


Post a Comment

8 Comments

  1. Pernah baca jugak kisah Natrah ni, tq Min share kisah dia.

    ReplyDelete
  2. Salam perkenalan min... Saya dulu tau ttg kisah natrah ni tapi sikit2 je. Tapi minat mula tercetus bila 1 hari tertonton drama natrah 4 episod kesemuanya di astro. Episode pertama terus buat saya jatuh cinta dgn kisah sedih ni. Habis drama episode pertama, Terus Google pasal natrah atau maria hertogh, sampai kat mcm2 blog dan akhirnya blog ni yg saya rasa menceritakan kisah natrah secara detail. Terima kasih min. Cerita dan gambar2. Saya hargainya. Done baca kisah Lara 3 jiwa part 1 - 13

    Normilah Syahida
    -Malaysia-

    ReplyDelete
  3. Salam perkenalan min... Saya dulu tau ttg kisah natrah ni tapi sikit2 je. Tapi minat mula tercetus bila 1 hari tertonton drama natrah 4 episod kesemuanya di astro. Episode pertama terus buat saya jatuh cinta dgn kisah sedih ni. Habis drama episode pertama, Terus Google pasal natrah atau maria hertogh, sampai kat mcm2 blog dan akhirnya blog ni yg saya rasa menceritakan kisah natrah secara detail. Terima kasih min. Cerita dan gambar2. Saya hargainya. Done baca kisah Lara 3 jiwa part 1 - 13

    ReplyDelete