Kisahnya Sabtu lepas kakak aku dari Pahang datang ke Shah Alam atas urusan kerja. Lama tak jumpa sejak PKP asyik bersambung-sambung, bila dia ajak aku keluar memang aku tak lepaskan peluang. Ada banyak cerita yang nak dikongsi, bila dapat keluar dapatlah bersembang panjang.
Kakak aku kata teringin nak makan jenis makanan yang bakar-bakar jadi aku cadangkan kami ke Pantai Remis. Dari rumah aku ke Pantai Remis dah tak jauh, lagipun dah bertahun jugak rasanya aku tak jejakkan kaki ke Pantai Remis. Sengaja aku ajak dia pergi selepas Asar sebab dapat menikmati pemandangan sunset sekali.
Kami sampai kira-kira dalam pukul 6 petang. Lama tak datang ke sini, makin meriah pula dengan pelbagai jualan. Aku tak pasti sama ada setiap hari meriah begini atau hanya pada hujung minggu. Tetapi ketika aku pergi terdapat pelbagai jualan makanan seperti pasar malam dan terdapat banyak makanan yang menyelerakan di sini. Rambang mata dibuatnya!
Tapi aku lebih tertarik di bahagian Tapak Penjaja. Maklumlah aku seperti yang anda tahu ialah seorang yang sangat suka memasak, melangkah ke Tapak Penjaja ibarat syurga makanan laut buat aku. Terdapat pelbagai hasil laut di sini termasuk kepah, belangkas, pepahat dan pelbagai jenis ikan termasuk ikan yang tak pernah aku makan.
Ambil masa yang agak lama juga aku di bahagian ini kerana daripada niat asalnya hanya ingin membeli mussel namun akhirnya pulang dengan pelbagai hasil laut yang lain. Dan antara yang aku beli ialah ikan putput yang pertama kali aku jumpa.
Pendek kata memang puas hati berbelanja di sini tambahan lagi harganya tidaklah mahal. Untuk 1 pek mussel, pepahat, lala, lokan dan sebagainya hanya RM10 itu pun ada lagi diskaun. Jika beli 2 pek cuma RM18. Murah kan?! Bayangkan aku beli 1 pek mussel, aku balik dan masak menu creamy mussel ala-ala di Manhattan Fish Market, hidangan yang aku masak tu cukup untuk 3 orang makan. Kalau nak makan di Manhattan Fish Market untuk 3 orang makan pun harganya dah berganda-ganda mahalnya.
Ni la Creamy Mussel yang aku masak |
Lepas puas aku memborong, kami menikmati makan malam di kedai makan di situ. Lepaslah hajat kakak aku untuk makan ikan bakar. Tapi aku tak ambil pula gambar makanan. Cuma sempat ambil gambar sotong celup tepung. Makanan di sini Alhamdulillah semuanya sedap. Ikan siakap bakar yang kami order juga terasa segarnya ditambah pula dengan pencicahnya yang sedap. Harga pula berpatutan, untuk seekor ikan siakap bersaiz sederhana dijual pada harga RM28.
Cuma agak kecewa di Pantai Remis ini suraunya ditutup tapi mujurlah ada sebuah kedai yang menyediakan bilik untuk solat. Memandangkan agak ramai orang jadi terpaksalah bergilir untuk menunaikan solat kerana bilik itu hanya terhad untuk seorang jemaah sahaja pada satu masa. Diharapkan selepas ini pihak pengurusan Pantai Remis mengambil berat tentang masalah ini.
Itulah sedikit kisah sepetang aku di Pantai Remis. Tak boleh keluar jauh-jauh pun, dapat keluar ke Pantai Remis pun sangat bersyukur rasanya. Insyallah akan datang lagi kembali ke sini demi hasil laut dan sunset yang cantik!
1 Comments
murah harga makanannya
ReplyDelete