Perkahwinan merupakan satu institusi yang memerlukan perlaksaan tanggungjawab dan kewajipan di atas hak sebagai suami dan isteri. Selain itu, panduan yang diajar oleh agama Islam supaya sentiasa bergaul dan bertoleransi di antara keduanya bagi melahirkan hubungan yang mahabbah.
Ini kerana pasangan suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain. Firman Allah SWT:
هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ
لِبَاسٌ لَّهُنَّ
Maksudnya: Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian
bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka
(Surah al-Baqarah, 187)
Begitu juga kewajipan seorang suami adalah menunaikan nafkah
dari segi zahir atau batin kepada isteri dan anak-anaknya. Ini sepertimana yang
dinyatakan oleh Dr. Muhammad Zuhaili di dalam kitabnya bahawa para fuqaha
bersepakat kewajipan suami memberi nafkah terhadap isterinya, tanpa ada
perselisihan pandangan terhadapnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e,
4/277)
Firman Allah SWT
الرِّجَالُ
قَوَّامُونَ عَلَى النِّسَاءِ بِمَا
فَضَّلَ اللَّـهُ بَعْضَهُمْ عَلَىٰ بَعْضٍ وَبِمَا
أَنفَقُوا مِنْ أَمْوَالِهِمْ
Maksudnya: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang
bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan
orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan,
dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah)
sebahagian dari harta mereka.
(Surah al-Nisa’, 34)
Dr. Wahbah Zuhaili menafsirkan ayat ini dengan menyatakan,
seseorang lelaki itu dipertanggungjawabkan untuk memberi nafkah serta tempat
tinggal kepada Isterinya... dan bagi lelaki ia merupakan ketua bagi memudahkan
urusan kekeluargaan. (Lihat al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 1/316-317)
Selain itu, Firman Allah SWT:
وَالْوَالِدَاتُ
يُرْضِعْنَ أَوْلَادَهُنَّ حَوْلَيْنِ كَامِلَيْنِ ۖ لِمَنْ أَرَادَ
أَن يُتِمَّ الرَّضَاعَةَ ۚ
وَعَلَى الْمَوْلُودِ لَهُ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ
بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka
selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan
itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu
menurut cara yang sepatutnya.
(Surah al-Baqarah 233)
Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan,
tanggungjawab isteri adalah mengandung dan melahirkan serta menyusukan anak.
Manakala tanggungjawab suami adalah menyediakan kelengkapan dari segi makanan,
minuman dan pakaian untuk melaksanakan tugas sebagai isteri. Begitu juga
menjaga keselamatan dan segala urusannya. Nafkah yang diberikan berdasarkan
kiraan mengikut kebiasaan masyarakat setempat seseorang perempuan itu (Lihat
Tafsir al-Maraghi, 2/187)
Suami memberi Nafkah Kepada Isteri
Tanggungjawab seorang suami dalam melayari bahtera rumah
tangga adalah dengan menunaikan nafkah dari segi zahir dan batin serta melayani
isteri dengan keadaan yang baik.
Oleh itu, kewajipan sorang suami di dalam membayar nafkah
adalah selepas berlakunya akad nikah serta isteri menunaikan syaratnya iaitu:
- Merelakan dirinya untuk bermesra dan bersetubuh dalan keadaan yang diizinkan syara’.
- Isteri mengikut suaminya tinggal di dalam rumah yang dipilih suaminya dan keadaan rumah itu sesuai didiaminya mengikut syara’
Jika kedua syarat ini dipenuhi isterinya, maka wajib bagi
suami untuk menunaikan setiap nafkah yang diperlukan oleh isterinya. (Lihat
al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/278-280)
Dalam kontek kemampuan suami memberi nafkah kepada
isterinya, al-Fiqh al-Manhaji menggariskan bahawa di antara perkara yang waijb
diberikan suami kepada isteri adalah:
- Makanan asasi penduduk tempatan pada setiap hari mengikut keperluan untuk dijadikan makanan. Hal ini berdasarkan kemampuan bagi seorang suami sama ada ia kaya, sederhana dan miskin.
- Lauk yang menjadi kebiasaan masyarakat umum mengikut kemampuan suami
- Pakaian yang bersesuaian mengikut syara’ dan menutup aurat serta tempat tinggal dan perkakas dapur mengikut kemampuan suami dan keperluan isteri.
Selain itu, sebagai tambahan kepada nafkah Isteri dan perlu
mengambil kira kemampuan suami adalah sepert iberikut:
- Rumah dan tempat tinggal yang bersesuaian dan sekurang-kurangnya mempunyai keperluan asas yang sewajarnya.
- Peralatan bertujuan kebersihan tempat tinggal. Begitu juga alat perhiasan diri sekiranya suami meminta untuk isterinya berhias.
- Pembantu rumah sekiranya isterinya mempunyai pembantu rumah sebelum ia berkahwin. Oleh itu suami perlu menyediakan khidmat pembantu rumah sekadar mengikut keperluan isterinya.
(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/281-284 dan
al-Fiqh al-Manhaji, 4/182-184)
Pemberian nafkah suami kepada isterinya adalah bergantung
kepada kemampuan dan pendapatan seorang suami. Ini seperti mana hadis daripada
Mu’awiyah al-Qusyairi katanya:
أَتَيْتُ
رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقُلْتُ مَا تَقُولُ فِي
نِسَائِنَا قَالَ: أَطْعِمُوهُنَّ مِمَّا
تَأْكُلُونَ وَاكْسُوهُنَّ مِمَّا تَكْتَسُونَ وَلاَ
تَضْرِبُوهُنَّ وَلاَ تُقَبِّحُوهُنَّ
Maksudnya: Aku menemui Rasulullah SAW dan bertanya: Apakah
pandanganmu tentang isteri-isteri kami?” Rasulullah SAW menjawab: “Berilah
mereka makan, sama seperti yang kamu makan, berilah mereka pakaian, sama
seperti yang kamu pakai dan janganlah pukul serta hina mereka
Riwayat Abu Daud (2144)
Nusyuz
Para fuqaha’ berpendapat perbuatan nusyuz seseorang isteri
kepada suaminya adalah diharamkan, begitu juga sebaliknya. Ini disebabkan
kedua-duanya tidak menunaikan tanggungjawab mereka terhadap pasangan
masing-masing. Nusyuz seseorang itu memberi kesan selepas selesainya akad
nikah. Dan ia juga membabitkan ke atas lelaki dan juga perempuan.
Dr Muhammad Zuhaili memberi takrifan nusyuz di dalam
kitabnya: “Nusyuz bermaksud derhaka dan kebiasaannya dilakukan oleh wanita.
Seseorang perempuan nusyuz itu ialah derhaka kepada suaminya dengan mengingkari
ketaatan terhadap suaminya. Selain itu, nusyuz bagi suami ke atas isterinya
adalah meninggalkan tanggungjawabnya serta menyakiti pasangannya”.
(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e: 4/90)
Firman Allah SWT:
وَإِنِ
امْرَأَةٌ خَافَتْ مِن بَعْلِهَا
نُشُوزًا أَوْ إِعْرَاضًا فَلَا
جُنَاحَ عَلَيْهِمَا أَن يُصْلِحَا بَيْنَهُمَا
صُلْحًا
Maksudnya: Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul
dari suaminya "nusyuz" (kebencian), atau tidak melayaninya, maka
tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka
berdua (secara yang sebaik-baiknya)
(Surah al-Nisa’, 128)
Mengikut keterangan daripada firman Allah SWT, Syeikh
Sya’rawi menyatakan bahawa terdapat nusyuz bagi seseorang lelaki terhadap isterinya
(Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 5/2682)
Syeikah al-Maraghi menerangkan ayat di atas dengan
menyatakan, “Yang dimaksudkan ayat di atas kebimbangan seorang isteri akan
berlakunya nusyuz suami terhadap dirinya, iaitu suami menghalang kehendak
dirinya, nafkahnya dan kasih sayangnya terhadap isterinya atau menzaliminya
dengan memukul serta melakukan kekerasan yang lain.” (Lihat Tafsir al-Maraghi,
5/171)
Nusyuz Seorang Suami
Hukum nusyuz tidak tertakluk kepada isteri sahaja, malah ia
juga berlaku kepada seorang suami. Ini seperti apabila seseorang suami itu
tidak memberi hak dan tanggungjawab kepada isterinya dari segi zahir dan batin
seperti tidak memberi nafkah serta melakukan kezaliman.
Hal ini dinyatakan di dalam al-Fiqh al-Manhaji menyatakan,
“Suami yang menganiaya isteri dan tidak menyukainya, seperti tidak
memberikannya giliran bermalam, nafkah atau mengasarinya dengan perkataan atau
perbuatan, isteri hendaklah menasihati suami dan mengingatkan tanggungjawab”
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/109)
Syeikh Ibrahim Baijuri menceritakan tentang nusyuz bagi
suami di dalam kitabnya, bahawa nusyuz bagi seorang suami adalah tidak
melakukan tanggunjawab yang wajib terhadap isterinya iaitu menggaulinya dengan
baik, memberikan giliran bermalam sekiranya beristeri ramai, memberi mahar,
memberi nafkah, pakaian dan keperluan hidup yang lain… sekiranya suami itu
seorang yang berakhlak buruk dan melakukan kekerasan seperti memukulnya tanpa
sebab, dibenarkan untuk mengadu kepada hakim untuk memberikan hukuman ta’zir
terhadapnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri, 2251)
Tindakan Isteri Kepada Suami Yang Nusyuz
Sekiranya seseorang suami itu nusyuz terhadap isterinya,
maka isteri hendaklah bersabar serta menasihati dan memperingati tindakkan yang
dilakukan oleh suaminya dengan menceritakan firman Allah SWT tentang kewajipan
seorang suami untuk menggauli isterinya dengan cara yang baik. Ini seperti
firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ
بِالْمَعْرُوفِ ۚ فَإِن كَرِهْتُمُوهُنَّ
فَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا
وَيَجْعَلَ اللَّـهُ فِيهِ خَيْرًا كَثِيرً
Maksudnya: Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri
kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (merasai) benci kepada
mereka (disebabkan tingkah-lakunya, janganlah kamu terburu-buru
menceraikannya), kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, sedang Allah hendak
menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu).
(Surah al-Nisa’, 19)
Jika keadaan masih lagi belum berubah dan tidak Berjaya
menasihatinya, maka isteri boleh mengadu kepada hakim atau pemerintah di atas
apa yang dilakukan oleh suaminya terhadap dirinya. Ini seperti yang dinyatakan
Dr Muhammad Zuhaili serta terdapat di dalam al-Fiqh al-Manhaji:
“Isteri juga hendaklah memberi amaran kepada suami tentang
balasan perbuatan zalimnya. Jika suami berubah baik, itulah sebaik-baiknya.
Jika tidak, dia hendaklah mengadu kepada hakim untuk mendapat haknya. Ini
kerana hakim diwujudkan untuk mengembalikan hak kepada yang berhak disebabkan
isteri tidak mampu mendapatkan haknya bersendirian… jika suami masih lagi
mengulangi perbuatannya, maka isteri boleh meminta hakim mengenakan hukuman
terhadap suaminya.”
(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/109-110 dan al-Mu’tamad fi
al-Fiqh al-Syafi’e, 4/95)
Namun, sekiranya masih lagi tidak dapat diselesaikan maka
wakil bagi kedua-dua belah pihak hendaklah dihantar supaya diadakan
perbincangan berkenaan hala tuju rumahtangga pasangan tersebut. Dr Muhamma
Zuhaili menyebut di dalam kitabnya:
“Sekiranya peranan hakim masih lagi tidak dapat mendamaikan
keduanya, maka hendaklah memanggil wakil yang dipercayai dari kedua-dua pihak
bagi menyelesaikan permasalah ini sama ada mendamaikan keduanya atau
memisahkannya...untuk menjatuhkan hukuman terhadap pasangan itu wajib dilakukan
oleh qadi atau hakim.”
(Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/95)
Ini bertepatan dengan Firman Allah SWT:
وَإِنْ خِفْتُمْ شِقَاقَ
بَيْنِهِمَا فَابْعَثُوا حَكَمًا مِّنْ أَهْلِهِ
وَحَكَمًا مِّنْ أَهْلِهَا إِن
يُرِيدَا إِصْلَاحًا يُوَفِّقِ اللَّـهُ بَيْنَهُمَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ
كَانَ عَلِيمًا خَبِيرًا
Maksudnya: Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara
mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah "orang tengah" (untuk
mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari
keluarga perempuan. Jika kedua-dua "orang tengah" itu (dengan ikhlas)
bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri
itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi Amat mendalam
pengetahuanNya.
(Surah al-Nisa’, 35)
Kesimpulan
Apa yang anda dapat simpulkan melalui penerangan di atas? Jujurnya terlalu ramai lelaki sekarang yang masih tidak memahami apa sebenarnya tanggungjawab suami terhadap isteri dan keluarga. Mungkin kerana jahilnya ilmu agama atau terlalu tingginya ego.
Tanggungjawab suami terhadap isteri dan keluarga sebenarnya adalah lebih besar berbanding tanggungjawab isteri, maksudnya di sini tugas suami adalah merangkumi semua aspek sedangkan tugas isteri adalah menjadi 'assistant' suami.
Namun begitu bukanlah bermakna isteri boleh epas tangan dalam menjalankan tanggungjawab mengurus keluarga. Jika suami jenis yang culas menjalankan tanggungjawab ;
- Isteri boleh menasihati suami tentang tanggungjawabnya dan memberi amaran kepadanya tentang balasan Allah SWT dengan perbuatan zalimnya.
- Selain itu, sekiranya suami masih tidak berubah maka isteri boleh meminta hakim mengenakan tindakan yang sesuai untuk memperbaikinya.
- Sekiranya belum mampu mengubahnya, kedua-dua belah pihak boleh menghantar wakil sebagai orang tengah untuk mendamaikan atau memisahkan mereka.
Sebaiknya di dalam permasalahan rumah tangga hendaklah
dirujuk kepada pihak-pihak yang berautoriti di dalam membantu menyelesaikan
permasalah ini seperti mahkamah syariah. Perkara ini bertujuan untuk
menjalankan proses sulh yang terdapat dalam enakmen undang-undang keluarga
islam di setiap negeri. Hal ini bertujuan mengadakan perbincangan damai serta
menyelesaikan perselisihan rumah tangga.
Justeru, suami dan isteri wajib meningkatkan pengetahuan
mengenai perihal hukum hakam nusyuz. Ini bertujuan memberi kesedaran kepada
suami dan isteri tentang keburukan dan kesan melakukannya.
Dalam memahami tugas dan tanggungjawab serta realiti
kehidupan dalam mengasuh dan mendidik generasi seterusnya persepahaman dan
toleransi di antara suami isteri akan melahirkan kebahagiaan dalam membentuk
baiti jannati. Firman Allah SWT:
رَبَّنَا
هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا
وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا
لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri
dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan
jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.
(Surah al-Furqan, 74)
0 Comments