RIWAYAT HIDUP YAM PUAN KECIL SELANGOR RAJA SITTI

Raja Sitti merupakan adinda kepada pemerintah Selangor yang bernama Yam Tuan Kecil Selangor Arung Pasarai dan merupakan puteri kepada La Maddaremmeng Matinroe Ri Bukaka Paduka Sultan Salleh.


Sekitar awal kurun ke-17 Masihi, Raja Sitti bersama kekandanya, Arung Pasai telah berhijrah dari Pulau Sulawesi menuju ke Semenanjung Tanah Melayu. Ketika berada di Selangor, sekitar tahun 1700 Arung Pasarai telah dilantik oleh Dato' Engku Naga Mengulur, salah seorang Tok Empat Klang sebagai penguasa Selangor dengan gelaran Yam Tuan Kecil Selangor Arung Pasarai dan kepadanya diserahkan cop mohor.


Pada tahun 1723, Yam Tuan Kecil Selangor Arung Pasarai telah mangkat. Dato' Engku Klang selaku ketua Tok Empat telah melantik adinda Arung Pasarai sebagai pemerintah dengan gelaran Yam Puan Kecil Selangor Raja Sitti. Dalam majlis perlantikan itu, Dato' Engku Klang telah menyerahkan cop mohor pemerintah kepada Yam Puan Kecil Raja Sitti. Pembesar-pembesar negeri dikekalkan bagi membantu baginda dalam pentadbiran.


Di dalam pentadbirannya, Yam Puan Kecil Raja Sitti masih mengekalkan undang-undang yang sedia yang diwujudkan oleh kekandanya bagi kesenangan rakyat. Baginda juga memerintah negeri Selangor dengan adil dan saksama sehingga rakyat Selangor sangat menyayanginya. Pada zamannya, pengeluaran bijih timah sangat rancak sehingga ramai pedagang-pedagang mula memperdagangkan hasil di Kuala Selangor. Sebagai pemilik asal lembangan Sungai Selangor, Dato' Engku Klang Naga Mengulur diperintahkan agar mengawal perdagangan di situ supaya berjalan dengan lancar.


Sekitar tahun 1731, seorang Bugis yang bernama Daeng Mateko bin Arung Peneki La Mataesdso To Ma'dettia, saudagar dari Linggi telah berbaik dengan Raja Kecil dari Siak. Raja Kecil telah mengupah Daeng Mateko agar membuat kekacauan di Kuala Selangor. Yam Puan Kecil Selangor Raja Sitti telah mengutus surat kepada Yamtuan Muda Riau Daeng Chelak untuk meminta bantuan. Dengan kelengkapan peperangan, Yamtuan Muda Riau Daeng Chelak bersama angkatan perang dari Riau serta bantuan dari To Passarai (bapa saudara Arumpone Batari Toja)datang ke Kuala Selangor bagi mengamankan kekacauan yang tercetus. Dalam pertempuran itu, Daeng Mateko dan sebahagian tentera Siak dapat dikalahkan. Daeng Mateko kemudiannya melarikan diri ke Siak. Sejak dari itu, Yamtuan Muda Riau Daeng Chelak sering berulang-alik dari Riau ke Kuala Selangor bagi menjaga keamanan negeri tersebut. 


Beberapa tahun kemudian, Daeng Mateko dengan kerjasama Raja Kecil Siak telah melakukan serangan balas ke atas To Passarai. Dalam serangan itu, pasukan gabungan Daeng Mateko dan Raja Kecil Siak telah mendapat kemenangan sehingga memaksa To Passarai mengundurkan diri ke Kalimantan. Peristiwa Daeng Mateko pernah tewas dalam pertempuran menentang To Passarai telah membuatkan saudara Daeng Mateko yang bernama La Maddukelleng ingin membalas dendam. La Maddukelleng telah melancarkan serangan mengejut ke atas kubu pertahanan To Passarai di Tabonio, Kalimantan Selatan.


Berbelas tahun selepas kekacauan yang dilakukan oleh Daeng Mateko di Kuala Selangor, maka pada tahun 1743, Yam Puan Kecil Selangor Raja Sitti pun meninggal dunia tanpa meninggalkan waris. Ketika itu, Yamtuan Muda Riau Daeng Chelak berada di Kuala Selangor. Kemangkatan Yam Puan Kecil Selangor Raja Sitti telah mendukacitakan seluruh rakyat Selangor terutamanya penduduk Kuala Selangor yang majoritinya oarang-orang Bugis. Oleh kerana Yamtuan Muda Riau Daeng Chelak pernah berjasa pada penduduk Kuala Selangor, penduduk Kuala Selangor memohon kepada beliau supaya terus menetap di situ. Namun di tolak oleh beliau. Walau bagaimanapun, beliau telah menamakan salah seorang daripada puteranya, iaitu Raja Lumu untuk dirajakan di Kuala Selangor sebelum beliau kembali ke Riau.


Pada tahun 1745, Yamtuan Muda Riau Daeng Chelak telah meninggal dunia. Kemudian Raja Lumu pun berangkat ke Kuala Selangor untuk memenuhi permintaan ayahandanya. Dengan kehadiran Raja Lumu bersama Daeng Loklok, Daeng Pendalang dan Dato Akhir ke Kuala Selangor telah membuatkan rakyat Kuala Selangor mengangkat Raja Lumu sebagai penguasa bergelar Raja Kecil Jajahan Selangor Bergelar Yang Dipertuan (Raja Kecil). 

Post a Comment

0 Comments