Dua buah Sekolah Amanah Malaysia disenarai pendek dalam 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang menawarkan $250,000. Anugerah ini dilancarkan pada tahun ini oleh T4 Education dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Templeton World Charity Foundation, Accenture dan American Express.
Sekolah Kebangsaan
Kempadang, sebuah sekolah rendah di Kuantan, Malaysia telah tercalon dalam
senarai 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Inovasi. SMK
Kampong Jawa, sebuah sekolah menengah di Klang, Malaysia telah dicalonkan dalam
senarai 10 Teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia bagi kategori Menangani
Cabaran.
Lima kategori Anugerah Sekolah Terbaik Dunia meraikan
sekolah-sekolah di seluruh dunia yang memainkan peranan penting dalam
membangunkan pelajar generasi hadapan dan sumbangan besar mereka terhadap
kemajuan masyarakat, terutamanya semasa COVID.
Dato’ Shahira
Ahmed Bazari, Pemegang Amanah & Pengarah Urusan Yayasan Hasanah, berkata:
Kami amat berbesar hati menjadi salah satu penaja untuk anugerah global ulung, oleh T4 Education ini. Inisiatif berharga ini memberi pengiktirafan dan mendorong transformasi ‘bawah-ke-atas” dan mewujudkan satu komuniti global yang boleh belajar daripada satu sama lain serta mewujudkan peningkatan impak positif untuk murid-murid di seluruh dunia.”
“Para finalis kami adalah contoh terbaik sekolah yang mantap dengan kisah kejayaan yang memberi inspirasi. Saya mengucapkan jutaan tahniah kepada semua 10 Sekolah teratas tersebut. Kami amat berbangga kerana dua buah Sekolah Amanah Malaysia antara yang tersenarai, membuktikan bahawa sekolah awam mampu menjadi antara yang terbaik di dunia.
Vikas Pota, Pengasas T4
Education dan Anugerah Sekolah Terbaik Dunia, berkata:
“Dengan lebih 1.5 bilion
pelajar terkesan oleh penutupan sekolah dan universiti, COVID telah memburukkan
lagi krisis pendidikan global. Sebelum pandemik berlaku, PBB telah pun memberi
amaran bahawa perjalanan untuk mencapai kualiti pendidikan sejagat menjelang
2020 terlalu perlahan.”
“Kami telah melancarkan Anugerah Sekolah
Terbaik Dunia sebagai penyelesaian akar umbi untuk membantu membina perubahan
sistemik yang diperlukan. Melalui penceritaan kisah-kisah inspirasi sekolah yang
mengubah kehidupan murid dan membawa perubahan sebenar kepada komuniti mereka,
sekolah boleh berkongsi amalan terbaik dan suara mereka dapat didengari oleh pihak
atasan untuk membantu transformasi pendidikan.
“Saya ingin
mengucapkan sekalung tahniah kepada Sekolah Kebangsaan Kempadang dan SMK
Kampong Jawa atas kejayaan disenarai pendek dalam 10 Teratas Anugerah Sekolah
Terbaik Dunia yang julung kali diadakan. Kini, para pendidik di seluruh dunia
akan dapat belajar daripada contoh sekolah-sekolah Malaysia yang cemerlang
ini.”
Latar Belakang Sekolah:
Sekolah Kebangsaan Kempadang, sebuah sekolah rendah di Kuantan, Malaysia menghadapi dua cabaran pada tahun 2021. Mereka bukan sahaja perlu berhadapan dengan pengajaran dan mengesan kemajuan murid semasa pandemik, malah keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk memansuhkan ujian akhir sekolah rendah yang dikenali sebagai UPSR, yang digantikan oleh pentaksiran berasaskan sekolah berterusan, menyebabkan sekolah tidak dapat mengakses data masa-hakiki pembelajaran murid yang dapat menentukan perancangan pengajaran bagi menyokong semua murid. Pengalaman dan tunjuk ajar yang diperoleh daripada Program Sekolah Amanah telah membantu sekolah untuk berinovasi dan mencari penyelesaian sesuai dengan konteks mereka. Penyelesaian inovatifnya adalah dengan mencipta SMARTZOOM, sistem pengesanan automatik sepenuhnya yang menjejaki kemajuan pembelajaran murid.
SMARTZOOM menggunakan
input data pada Google Sheet dan Google Chrome kerana semua guru di Malaysia
mempunyai akaun Google dengan pautan khusus Kementerian Pendidikan Malaysia. Dengan
menggunakan data ini, kakitangan dapat merangka rancangan pengajaran yang
konkrit dan terperinci mengikut kesesuaian kelas mereka. Guru sokongan serta
Ketua Panitia diberikan bahan latihan dalam bentuk video YouTube dan bengkel bagi
membantu peralihan mereka.
Majoriti populasi murid
Sekolah Kebangsaan Kempadang berasal daripada kumpulan 40% isi rumah pendapatan
rendah di Malaysia. Di sebalik kerentanan muridnya, sekolah ini telah memupuk
kepercayaan yang kuat dalam keupayaannya untuk mendidik mereka di sekolah ini.
Sejak menjadi Sekolah Amanah pada 2015, kadar enrolmen telah meningkat sebanyak
6% atau 7% setiap tahun.
SMK Kampong Jawa, sebuah sekolah menengah di
Klang, Malaysia, pernah berada di kedudukan dua terbawah daripada tiga puluh
lapan sekolah di daerah Klang dalam keputusan akademiknya, tetapi sejak itu skornya
telah meningkat sebanyak 20% dan diberi anugerah kehadiran dalam talian
tertinggi semasa pandemik.
Pada 2017, mayat seorang wanita yang dibunuh telah ditemui
di luar perkarangan SMK Kampong Jawa, petanda betapa mencabarnya keadaan persekitaran
sekolah itu. Sebuah sekolah dengan 75% muridnya berasal daripada keluarga yang berpendapatan
rendah, SMK Kampong Jawa pernah dikaitkan dengan kemiskinan bandar, kehadiran
murid yang rendah dan masyarakat setempat hilang kepercayaan terhadap sekolah.
Dahulu, bilik darjahnya menjadi mangsa vandalisme, kecurian adalah perkara
biasa dan muridnya sering diperalatkan menjadi kumpulan samseng di sekitar
kawasan tersebut. Semasa sekolah ini meminta pembiayaan daripada penaja untuk
membeli peralatan yang lebih baik pada 2017, permintaan mereka telah ditolak.
Setahun selepas itu, keputusan akademik sekolah adalah rendah - hanya 59% murid
memperoleh kelayakan tamat persekolahan mereka.
Namun, dalam tempoh masa 632 hari, SMK Kampong Jawa
berjaya mengubah kesukarannya menjadi satu kejayaan. Pemangkin kepada perubahan
tersebut adalah daripada pelantikan pengetua baharu pada Ogos 2020 yang
membantu mengubah polisi sekolah supaya selaras dengan visinya untuk membawa
perubahan, melalui pelaksanaan Program Sekolah Amanah. Di bawah pimpinan beliau,
SMK Kampong Jawa memulakan pendekatan berasaskan data intensif untuk kehadiran
dan menghubungi lebih 500 ibu bapa untuk mengetahui lebih lanjut tentang murid dan
persekitaran rumah mereka. Bagi mereka yang masih tidak menghadiri kelas,
kaunselor sekolah akan membuat lawatan ke rumah mereka.
Dengan penyelidikan intensif yang sedang
dijalankan, SMK Kampong Jawa mereka bentuk kelas dalam talian yang
bereksperimen dengan breakout room dan struktur pembelajaran kolaboratif
yang menawarkan sokongan rapat rakan-ke-rakan serta memastikan sesi kumpulan
kecil produktif dan menarik. Kehadiran kelas dalam talian dan keputusan
akademik mula bertambah baik. Sekolah ini juga memberi fokus terhadap cabaran
yang dihadapi oleh beberapa muridnya dan mula menjalinkan rangkaian dengan
badan amal tempatan bagi membantu mereka yang mengalami masalah kewangan. Dalam
satu kes, SMK Kampong Jawa berjaya membantu keluarga murid berpindah ke rumah
yang lebih baik. Sekolah ini akan terus menyediakan pengajaran secara bersemuka
dan secara dalam talian di bilik darjah, sepanjang pandemik.
Langkah Seterusnya:
3 finalis Terbaik untuk setiap lima kategori Anugerah Sekolah
Terbaik Dunia – iaitu Kolaborasi Komuniti, Tindakan Alam Sekitar, Inovasi, Menangani
Cabaran dan Menyokong Kehidupan Sihat - akan diumumkan pada tahun ini. Selepas
undian awam, pemenang setiap Anugerah akan dipilih berdasarkan kriteria yang ketat oleh Akademi Juri
yang terdiri daripada pemimpin terbilang di seluruh dunia termasuk ahli
akademik, pendidik, NGO, usahawan sosial, kerajaan, masyarakat sivil dan sektor
swasta.
Pemenang akan diumumkan pada Oktober 2022 di World Education Week. Hadiah bernilai AS$250,000
akan dikongsi sama rata dalam kalangan pemenang lima Anugerah tersebut, dengan
setiap pemenang menerima AS$50,000.
Kesemua 50 sekolah yang disenarai pendek dalam lima Anugerah
tersebut akan berkongsi amalan terbaik mereka melalui toolkit yang memaparkan
"rahsia" tentang pendekatan inovatif mereka dan langkah terperinci
tentang bagaimana sekolah lain boleh menggunakan kaedah mereka untuk membantu menambah
baik pendidikan di seluruh dunia.
TENTANG T4 EDUCATION:
Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat pendidikan yang
baik. Kami sedang membina komuniti terbesar guru dan sekolah di dunia untuk
mencapai matlamat ini, bersama-sama. Platform media digital kami menyediakan
peluang kepada para pendidik untuk menjalinkan rangkaian, berkolaborasi,
berkongsi amalan terbaik dan menyokong usaha satu sama lain untuk menambah baik
pembelajaran. Kami berusaha untuk memantapkan suara guru, kerana dunia yang kita
impikan hanya dapat dibina dengan mendengar suara mereka yang menjadi nadi
kepada pendidikan.
https://www.facebook.com/groups/t4education/
https://www.linkedin.com/company/t4education/
For more information, please contact Salman
Shaheen: salman@t4.education
TENTANG YAYASAN HASANAH
Yayasan
Hasanah (“Hasanah”) merupakan sebuah yayasan berasaskan impak di bawah Khazanah
Nasional Berhad (“Khazanah”), dana kekayaan berdaulat Malaysia. Hasanah lahir
sebagai sebuah yayasan penganugerahan geran bebas pada 1 Julai 2015; sebuah
kesinambungan kepada usaha Tanggungjawab Korporat (CR) yang sebelumnya dipacu
oleh Khazanah untuk sembilan tahun. Sebagai organisasi penganugerahan geran,
Hasanah menjangkau lebih daripada wang ringgit untuk memudahkan ekosistem
transformasi, berkerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan, menanamkan
semangat advokasi dan membina kemampuan dalam lima bidang tumpuan utamanya:
Pendidikan; Pembangunan Komuniti; Alam Sekitar; Kesenian & Ruang Awam; dan
Pengetahuan. Secara kolektif dan kolaboratif, Hasanah berharap dapat
menggerakkan anjakan reformasi sosial dan masyarakat untuk rakyat Malaysia, ke
arah Malaysia yang lebih baik. Bagi mendapatkan maklumat lebih lanjut, sila
layari www.yayasanhasanah.org.
TENTANG SEKOLAH AMANAH
Program Sekolah Amanah adalah solusi
transformasi sekolah secara menyeluruh yang bermatlamat untuk membugarkan
budaya sekolah dan mempertingkatkan pengajaran dan pembelajaran untuk
menghasilkan kemenjadian murid yang holistik. Program ini dilaksanakan melalui
kerjasama awam-swasta antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan AMIR,
dengan LeapEd Services diberi tanggungjawab untuk mereka bentuk, membangunkan
dan menyampaikan program kepada sekolah awam di seluruh negara. Ia termasuk
bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan: Pengetua/Guru Besar, Pemimpin
Pertengahan, guru, murid-murid, ibu bapa dan komuniti yang lebih besar untuk
menambah baik kualiti pendidikan. Fokus program adalah untuk menyesuaikan
amalan terbaik antarabangsa kepada sekolah Malaysia berdasarkan konteks
tempatan, dengan tumpuan kepada pendekatan berasaskan data dan berasaskan
evidens serta penekanan terhadap kelestarian dan kebolehskalaan
Sehingga kini, 94 Sekolah Amanah di 13
buah negeri, mewakili pelbagai komuniti: bandar, luar bandar, B40, Sekolah Cina
dan Tamil, Sekolah Agama, Orang Asli dan sekolah berasrama penuh yang
berprestasi tinggi. Program Sekolah Amanah telah menunjukkan keputusan yang
signifikan dalam semua sasaran bidang impak: termasuk kepimpinan sekolah,
peningkatan pengajaran dan pembelajaran serta kemenjadian murid, penglibatan
ibu bapa dan komuniti yang lebih baik, serta mempengaruhi reformasi dan
perubahan sistemik.
0 Comments