Bagaimana Merancang Simpanan Hari Tua

Dalam keadaan ekonomi yang semakin menghimpit ini, adakalanya agak sukar untuk kita merancang simpanan untuk hari tua kita. Apatah lagi setelah berdepan dengan pandemik dan kemudiannya inflasi, sedikit sebanyak keadaan ini menyesakkan dada.


Namun sebenarnya, jika kita bijak membezakan diantara kehendak dan keperluan, pastinya kita dapat membuat simpanan dengan bijak. Misalnya aku sendiri sekarang tengah berkira-kira untuk membeli sebuah iPhone 14 Pro Max dengan alasan untuk memudahkan kerja aku sebagai seorang blogger namun setelah berfikir dengan lebih mendalam, itu semua hanyalah kehendak semata-mata sedangkan smart phone yang aku guna sekarang masih berfungsi dengan baik.


Begitulah kita, terkadang terlalu ingin mengikut keadaan semasa tanpa berfikir sedalam-dalamnya tentang kepentingan simpanan untuk hari tua kita. Seperti yang aku katakan di awal tadi, sebenarnya menyimpan bukanlah sesuatu yang susah jika kita pandai membezakan antara kehendak dan keperluan apatah lagi jika kita istiqomah.


Namun begitu ada beberapa tips yang kita boleh cuba, antaranya ;

 

#1 Simpan 10%-15% dari gaji bersih dan masukkan dalam akaun simpanan khas

 


Ini sangat penting untuk melatih diri anda menyimpan wang dengan betul tanpa rasa terbeban. Setiap bulan anda boleh automatik simpan dalam akaun simpanan khas. Anda boleh mumbuka satu akaun simpanan khas untuk menyimpan sahaja dan meminta bank untuk beri buku simpanan sahaja tanpa kad debit. Akaun ini adalah untuk hal kecemasan pada masa akan datang. Dengan cara ini, anggap sahaja anda sedang membayar hutang sebab hutang kan memang wajib kena bayar. Jadi, tak salah pun untuk menyimpan dengan cara begini.

 

#2 Rekod perbelanjaan harian
 


Ya, percaya atau tidak ini ialah langkah berkesan untuk menguruskan wang anda dengan betul. Dari sini, anda boleh rekod apa yang anda telah belanjakan atau apa yang anda terima dari hasil jualan kecil-kecilan jika ada. Kalau selalu rasa banyak keluarkan duit, anda boleh semak kembali rekod anda dan membuat rancangan untuk menghadkan perbelanjaan harian anda. 

 

#3 Katakan tidak pada kad kredit

 


Jangan ambil risiko kalau takut termasuk dalam ‘jerat sendiri’ nanti. Nampak memang senang sebab tidak perlu menggunakan tunai tetapi bahaya kalau banyak berhutang dengan bank sebab ia akan menunjukkan rekod buruk pada CCRIS nanti jika anda sudah tidak mampu membayar hutang kad kredit kemudian hari.

 

#4 Bayar hutang dahulu

 

Apa yang kita kena utamakan dahulu adalah membayar hutang seperti pinjaman kereta mahupun rumah. Hutang wajib dibayar ok. Jangan buat-buat lupa pula. Kalau tak bayar nanti, memang akan makan diri sebab kereta kena tarik, rumah pula kena lelong dan lain-lain. Anda kena selesaikan apa yang patut dahulu.

 

#5 Berbelanja mengikut kemampuan

 


Boleh kalau hendak berbelanja setiap bulan, cumanya jangan berbelanja mengikut nafsu, tetapi ikutlah kemampuan anda. Jangan meniru gaya hidup kemewahan orang lain tetapi berpada-padalah kalau pendapatan bersih bulanan anda pun tidak mampu menanggung hidup anda sendiri sampai hujung bulan, sila jangan berangan nak hidup mewah. Ubah cara hidup anda ok. Kalau anda seorang yang selalu suka membeli barang berjenama, berhentilah sekejap sampai keadaan kewangan anda sudah kukuh satu hari nanti.

 

#6 Buat bajet bulanan sendiri

 


Ini sangat afdal kerana anda sudah merancang sesuatu untuk setiap bulan dan anda akan cuba mengikut perancangan anda. Awal-awal memang rasa macam akan terlari bajet sikit, tetapi lama-lama anda akan sudah biasa untuk uruskan bajet bulanan anda dan pada masa yang sama, anda juga berasa yakin untuk hidup berjimat tanpa rasa beban di dada.

Jika masih bingung bagaimana caranya untuk membuat bajet bulanan, boleh sahaja menggunakan kalkulator simpanan bagi memudahkan anda untuk membuat bajet

 

#7 Menabung

 


Sejak dari kecil lagi ibu bapa kita sudah mengajar kita untuk menabung kan. Jadi, tak salah untuk cuba menabung lagi walaupun dah besar. Kalau nak menabung, jangan ingat hanya boleh menabung duit syiling sahaja tetapi boleh juga menabung duit kertas ya. Anda boleh membuat banyak tabung untuk setiap kategori seperti melancong, hiburan dan macam-macam lagi. Seronok ada banyak tabung sebab akan rasa macam ada duit banyak walaupun sebenarnya tabung itu masih belum matang. Letakkan sasaran bila hendak menggunakan tabung itu, jadi senang untuk anda mencari masa mengumpul lebih banyak. Macam yang aku jelaskan di atas, boleh sahaja kita membuat kira-kira tentang perbelajaan kita sekaligus akan membantu kita membuat kira-kira simpanan kita.


Mungkin sekarang tidak nampak hasilnya, tapi yakinlah..suatu hari nanti kita pasti akan berterima kasih kepada diri sendiri kerana gigih untuk menabung.

 

#8 Disiplin diri

 

Tak kira dalam apa jua bidang yang anda ceburi sekarang, kalau nak berjaya kena ada disiplin. Kita berdisiplin bukan bermaksud kita kedekut. Jika anda tidak ada disiplin dalam diri, macam mana anda hendak menguruskan wang anda dengan bijak? Mahu menjadi seorang yang gagal selamanya? Dunia sangat mencabar saban hari, segala-galanya memerlukan wang. Jadilah seorang yang bijak.

 

Apa pun, semoga perkongsian kali ini dapat membantu bukan sahaja kepada diri aku tetapi kepada anda semua yang masih berusaha untuk merancang simpanan hari tua. Apap pun terima kasih kepada Savings Calculator yang banyak membantu aku selama ini.

Post a Comment

1 Comments

  1. Makin hari memang kena fikir saving masa depan, now kalau nampak semua nak beli, dah beli macam takde guna jer kann.. so guna dan pakai je apa ada...

    ReplyDelete