MEMORANDUM PERJANJIAN (MOA) MEATECH CREATIVE ACADEMY DAN METROWEALTH INTERNATIONAL GROUP (MIG)

Pada 16 Ogos lepas aku berkesempatan untuk menghadiri Majlis Menandatangani MOA antara MEATECH CREATIVE ACADEMY dan METROWEALTH INTERNATIONAL GROUP (MIG). MOA antara kedua pihak tersebut telah dianjurkan bagi tujuan menyahut seruan pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) untuk melaksanakan Latihan Industri (LI) kepada para pelajar yang dapat memberi pengalaman, peluang serta pembelajaran lebih luas.


Umum mengetahui, MIG merupakan antara syarikat produksi yang sentiasa mencipta serta melahirkan bintang terkenal selama 23 tahun MIG ditubuhkan. Ini selaras dengan visi MIG iaitu Bintang Dicipta Bukan Dilahir. Bagi Mr. David Teo, selaku CEO MIG, bukan hanya bintang malah Karyawan Serta Anak Seni juga boleh dicipta menjadi pakar yang hebat. Misi Pembangunan Modal Insan sentiasa diterapkan dalam MIG demi menggalas tanggungjawab dalam mencipta pelapis baharu dan konsistensi MIG membuka peluang di antara MIG dan Meatech untuk menjalinkan kerjasama.


Memorandum Perjanjian ini telah ditandatangani oleh CEO Meatech Creative Academy, Puan Shahralin Bt Abdul Hamid dan CEO Metrowealth International Group (MIG) Mr. David Teo, diringi oleh CO0 Meatech Creative Academy, Mohd Zaharizan Bin Abdul Mubin dan turut disaksikan oleh Pengarah Bahagian Persijilan Kompetensi JPK, Encik Mohd Sukri Bin Ismail.


Pelaksanaan LATIHAN INDUSTRI (LI) DAN INTERNSHIP DALAM SISTEM LATIHAN PROGRAM BERTAULIAH (SLaPB) ini dilihat dapat membolehkan para pelajar merasai sendiri bagaimana penggiat seni menghasilkan sebuah karya yang berkualiti bermula dari proses awal hingga ke proses yang terakhir.


Memorandum Perjanjian (MOA) ini tertakluk pada perisian perjanjian persetujuan perkongsian kemahiran dan peluang dari pihak MIG kepada pelajar Meatech Creative Academy untuk diserap masuk ke bidang pekerjaan industri seni kreatif yang sebenar.


Kerjasama strategik bakal dilaksanakan bagi mempromosikan memorandum perjanjian ini demi mencapai Matlamat Bersama untuk melahirkan lebih ramai Bakat Muda dalam industri seni.


Majlis ini turut dihadiri oleh Seniwati Datuk Hajjah Fauziah Nawi dan Aziz M Osman yang menyaksikan Seniwati dan Sutradara hebat ini menerima Diploma Kemahiran Malaysia Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy setelah berjaya menamatkan pengajian serta menyumbang perkongsian pengalaman besar kepada para pelajar.

Post a Comment

0 Comments