Bercerita tempat menarik di Melaka memang tak habis dibuatnya sebab terlalu banyak tempat menarik yang ada di sana. Namun kali ni aku nak kongsikan salah satu tempat tarikan di Melaka yang anda wajib kunjungi.
Tempat yang aku maksudkan adalah Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka yang terletak di Ayer Keroh. Untuk ke Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka ni sebenarnya mudah sahaja kerana tempat ini betul-betul terletak di exit tol Ayer Keroh.
Jika anda dari Kuala Lumpur exit je tol Ayer Keroh, Taman Rama-Rama & Reptilia terletak di sebelah kiri anda. Ikut sahaja arahan papan tanda di tepi highway tu pasti tidak akan sesat.
Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka Bukan Hanya Sekadar Taman Rama-Rama
Telah beroperasi sejak tahun 1991 lagi, Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka bukanlah tarikan baru yang ada di Melaka namun mungkin kurang popular kerana tanggapan orang ramai yang taman ini hanya ada rama-rama semata-mata.
Aku sendiri sebenarnya ini kali pertama menjejaki kaki ke sini walau sudah berkali-kali ke Melaka. Ternyata bila ke sini bukan hanya setakat ada rama-rama dan reptilia tetapi banyak lagi haiwan yang lain ada di sini.
Jika anda datang ke sini jangan bimbang tentang parkir kerana ruangan parkir yang disediakan di sini sangat luas dan percuma buat para pengunjung.
Apa yang menariknya di sini, para pengunjung bukan sahaja boleh mempelajari tentang kitar hidup rama-rama malah boleh mengenali lebih dekat tentang spesis serangga tersebut.
Pengunjung akan diberi pendedahan tentang bagaimana dari beluncas akhirnya akan bertukar menjadi rama-rama.
Terdapat pelbagai jenis spesis rama-rama yang dibiakkan di sini termasuk sejenis rama-rama yang telah pupus di Singapura. Malah pengunjung turut diberi peluang untuk bergambar dan mendekati rama-rama yang ada di sini.
Interaksi Secara Langsung Dengan Haiwan Yang Ada Di Sini
Satu pengalaman menarik yang anda akan dapat jika berkunjung ke Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka adalah anda akan dibenarkan untuk berinteraksi secara langsung dengan haiwan-haiwan yang ada di sini. Pengalaman ini pastinya anda tidak akan dapat jika berkunjung ke zoo!
Jika di bahagian Lizard Territory, interaksi secara langsung dengan reptilia ini akan dibuka pada pukul 11 pagi dan pukul 2 petang.
Ketika ini para pengunjung dibawah pengawasan petugas di Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka akan dibenarkan untuk memegang dan mengambil gambar dengan Iguana mahupun Blue-tongued Skink. Buat pengetahuan, Skink berlidah biru terdiri daripada genus Australasia
Tiliqua, yang mengandungi beberapa ahli terbesar keluarga skink. Mereka
biasanya dipanggil biawak berlidah biru atau hanya lidah biru atau bluey di
Australia atau panana di Indonesia.
Bukan itu sahaja, anda juga diberi kebenaran untuk memberi makan haiwan-haiwan ini dengan syarat membeli makanan yang telah disediakan oleh pihak Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka dan dijual pada harga cuma RM8/pek.
Tempohari aku sempat memberi makan burung, kura-kura Sulcata iaitu kura-kura ketiga terbesar di dunia dan burung Emu. Bagi mereka yang tidak tahu apa itu burung Emu, Burung Emu (Dromaius novaehollandiae) ialah burung asli
Australia yang terbesar, serta burung tak terbang yang kedua terbesar di dunia,
iaitu selepas saudara ratitnya, burung unta. Burung ini juga merupakan ahli
tunggal dalam genus Dromaius yang masih wujud
Jika anda bernasib baik, anda juga berpeluang untuk memberi makan buaya yang ada di sini. Bagi peminat-peminat haiwan comel seperti arnab, anda juga berpeluang untuk bermesra dan memberi arnab makan
Secara jujurnya aku rasa sangat berbaloi luangkan masa di sini. Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka ni nampak je macam kecil tapi sebenarnya berpeluh juga berjalan dalam ni. Tempohari tak cukup 2 jam meluangkan masa di sana sudahnya hari kedua kami datang lagi ke Taman Rama-Rama & Reptilia Melaka ini.
Harga tiketnya pun pada aku sangat berpatutan. Untuk rujukan anda semua harga tiket adalah seperti berikut ;
Harga Tiket |
Dewasa |
RM27 |
Kanak-Kanak (3-12
tahun) |
RM22 |
|
OKU |
50% off |
Waktu operasi pula dibuka setiap hari bermula 9 pagi hingga 5.30 petang.
Bagi mereka yang berminat untuk berkunjung ke sini anda boleh dapatkan maklumat lanjut di ;
Alamat : Lebuh Ayer Keroh, 75450, Melaka
Tel : (606) 2320033
Website : https://www.butterflyreptile.com/
Instagram : https://www.instagram.com/butterflyreptile/
0 Comments