Gara-gara salah faham antara pihak berkuasa, seorang ibu yang masih dalam tempoh berpantang mengalami trauma apabila terpaksa meringkuk di dalam lokap selama empat hari atas dakwaan jenayah pihak lain.
Liew Jin Yih atau dikenali sebagai Nichole, 25, mendedahkan, dia baru sahaja dibebaskan pada 7 September lalu setelah empat hari direman kerana didakwa melakukan penganiayaan terhadap pembantu rumah warga Kemboja, Sok Vann Chandy, 28.
Nichole (kiri) bersama majikannya, Madam Enica yang cuba membantunya mendapatkan penjelasan sebenar berhubung insiden dilaluinya. |
Menurut Nichole, dianggarkan seramai 15 hingga 20 anggota polis menyerbu rumah ibunya di Taman Sri Jempol.
Ibu orang pertama yang menyedari kehadiran pihak polis dan terus mengejutkan semua ahli keluarga yang sudah pun tidur pada waktu mereka datang lebih kurang jam 11.30 malam.
Selepas pintu dibuka, kami terkejut sebaik melihat terdapat sepasukan anggota polis yang sebahagiannya lengkap beruniform berada di pekarangan rumah ibu.
Paling mengejutkan, saya ditahan reman setelah ada laporan berlaku penderaan terhadap pembantu rumah saya,
dedah Nichole kepada media ketika ditemui dalam satu sidang media di Bandar Bukit Puchong, baru-baru ini.
Namun sedikit mencurigakan kata Nichole, sepanjang empat hari tempoh reman berlalu, tiada seorang pun anggota yang mengambil keterangan daripadanya sebagai prosedur soal siasat.
Sebelum ini mereka beritahu bahawa penahanan saya adalah di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Sedia maklum, ia satu jenayah berat dan besar. Jadi, kenapa polis langsung tidak menyoal siasat saya?
getusnya keliru.
Usai dibebaskan, keluarga serta kenalannya telah mendapatkan khidmat peguam untuk merujuk kes dihadapi Nichole ke beberapa pihak berwajib bagi mendapatkan penjelasan sebenar asbab dia ditahan.
Selepas beberapa hari kes itu dipanjangkan, hasil penilitian mendedahkan bahawa amah berusia 28 tahun berkenaan rupa-rupanya membuat laporan terhadap majikan terdahulu, sebelum Chandy mula bertugas di rumah Nichole di Puchong.
Nichole yang mengakui kakinya sering berasa kebas akibat kesejukan tidur pada setiap malam, apatah lagi kondisi tubuhnya yang masih lemah selepas bersalin bagaimanapun enggan menuding jari menyalahkan sebarang pihak.
Saya masih terkejut, nak pejam mata pun payah masa nak tidur kerana masih teringat pengalaman duduk dalam lokap.
Saya suarakan hal ini bukan untuk menuntut keadilan dengan menyabitkan pihak-pihak tertentu, sebaliknya sekadar memberi peringatan agar kejadian seumpama ini tidak berulang lagi kepada sesiapa,
tegasnya.
Pun begitu, Nichole menerangkan, hal tersebut masih lagi dipertimbangkan untuk dibawa ke muka pengadilan ataupun sebaliknya.
0 Comments